Nak Buat Lagu Ikut Trend Atau Tak?

Dalam proses menghasilkan lagu, adakah kita perlu ikut trend muzik semasa, atau lebih baik hasilkan lagu berdasarkan minat dan keunikan diri sendiri?

Ini soalan yang kami terima baru-baru ini. Soalan ini nampak pendek, ringkas dan bersahaja. Tapi soalan ini juga sebenarnya adalah dilemma yang dihadapi oleh penggiat seni baru.

Bila seseorang itu mula nak cipta lagu, soalan yang timbul adalah :

“…Patutkah aku hasilkan lagu yang ikut trend muzik semasa, atau ikut genre yang kita minat…?”

Soalan yang nampak mudah ini sebenarnya memberikan kesan yang besar kepada perjalanan karier seni seseorang.

Pilihan ini juga boleh jadi penentu sama ada :

  1. Potensi lagu anda cepat mendapat perhatian. (Anda ikut kehendak pasaran)
  2. Potensi lagu anda jadi sebuah karya yang akan dikenang lama.(Tidak ikut kehendak pasaran)

Marik kita lihat kedua-dua hala ini dari segi kelebihan dan kekurangan untuk lebih mudah faham dan buat keputusan.

IKUT TREND MUZIK TERKINI

Maksudnya anda cipta lagu ikut apa kehendak pasaran. Lagu yang anda cipta selari dengan apa yang pendengar sekarang dengar. Lagu yang anda cipta adalah jenis muzik dan stail yang popular.

Sekarang apa yang popular? Di Malaysia? Muzik elektonik? Balada?

Dengan mengikut trend juga, struktur dan tema lagu anda akan lebih kurang sama dengan lagu yang ada di pasaran.

KELEBIHAN?

  1. Pendengar cepat hadam lagu anda. Sebab lagu anda tak jauh beza sangat dengan lagu yang ada di pasaran. Dari susunan muzik, lirik, hinggalah melodi, pendengar boleh jangka.
  2. Bila lagu mudah hadam, peluang lagu anda terpilih untuk diputarkan di radio, lagu anda cepat trend di digital platform adalah lebih tinggi.
  3. Hasil dari point nombor 1 dan 2, potensi untuk anda bina audience dan nama dalam industri lebih cepat dan tinggi.

KEKURANGAN?

  1. Bila lagu anda cepat hadam, mudah dijangka, dari segi hala tuju lagu dan struktur lagu pun sama dengan lagu-lagu dipasaran, hasilnya orang cepat rasa bosan. Tiada keunikan yang ketara untuk pendengar menilai. Pendengar tidak akan ambil masa yang lama untuk hadam lagu anda.
  2. Apa jadi bila lagu senang hadam? Jangka hayat lagu ni pendek. Lagu anda mungkin akan hype beberapa bulan, kemudian pendengar mula lupa lagu anda. Sebab? Pendengar mula dengar lagu lain.
  3. Bila lagu anda ikut trend, anda kena tahu juga bukan anda seorang sahaja yang buat lagu ikut trend ni. Ada beribu lagu. Persaingan jadi sangat tinggi. Lagu anda tenggelam dengan lagu-lagu trending yang lain.

IKUT GENRE/STAIL & KEUNIKAN TERSENDIRI

Maksudnya anda cipta lagu ikut “kepala” sendiri. Haha! Kedengaran rebel kan? Memang itulah definisi yang sesuai untuk kategori ini.

Anda cipta lagu ikut apa yang anda rasa suka, bukan ikut kehendak orang lain, bukan ikut kehendak pasaran. Anda buat lagu tak fikirkan sangat apa feedback dan respon pendengar terhadap lagu anda.

Siapa yang nak dengar — Dengar.
Tak nak dengar — Sudah.

Anda buat lagu ikut kehendak sendiri mencerminkan siapa anda sebenarnya. Anda selesa buat lagu ikut citarasa dan pengalaman anda.

KELEBIHAN

  1. Anda akan bina identiti dan signature sound sendiri. Disitunya timbul keunikan. Lagu anda akan jadi beza dengan orang lain.
  2. Anda akan ada peminat setia. Walaupun bilangannya mungkin tak ramai. Tetapi pendengar sebegini yang akan setia tunggu setiap kali anda nak keluarkan lagu-lagu baru.
  3. Anda bebas berkarya. Anda tak perlu ikut apa kehendak pasaran. Anda nak buat lagu genre acoustic folk experimental psychedelic (Fuh! Saya pun tak pernah dengar)? Tiada siapa yang boleh halang anda untuk buat.

KEKURANGAN

  1. Bila anda terlalu unik, lagu anda sentuh pasaran yang terlalu niche, kebarangkalian untuk anda dapat audience mengambil masa yang lama.
  2. Audience dan pendengar anda jauh lebih kecil. Genre anda itu tak ramai orang nak dengar.
  3. Sukar untuk sustain. Boleh sustain. Tetapi sukar. Kerana lagu anda bukan apa yang pasaran mainstream nak.

Dalam dunia muzik moden, tiada jawapan yang mutlak. Anda nak ikut trend boleh. Tak nak ikut trend pun boleh. Anda sendiri kena tahu apa yang anda patut buat.

Macam mana nak buat keputusan? Tanya diri anda dahulu.

Sebelum anda nak pilih hala tuju anda, anda kena jawab jujur soalan ini :

Apa tujuan utama anda berkarya? – Memang semata-mata nak viral? Anda nak bina portfolio? Anda nak jenamakan diri anda sebagai penyanyi pro/sambilan? Anda berkarya semata-mata sebab anda suka menyanyi dan cipta lagu?

Siapa sasaran pendengar lagu anda? – Pendengar biasa? Pendengar yang berkualiti yang tahu dan faham nilai muzik? Pendengar yang kreatif? Pendengar yang “hardcore”? Pendengar pakcik makcik? Siapa?

Berapa banyak wang yang sanggup anda laburkan? – Kos rakaman lagu, kos buat content di media social, kos pemasaran (muzik video, lirik video, photoshoot, buat website, buat page digital, digital distribution).

Anda nak orang pandang anda sebagai apa? – Pengkarya tulin dan sejati? Perngkarya ala kadar? Pengkarya yang kreatif? Pengkarya yang “rebel”?

Apa-apa pun, ini dunia muzik. Tiada jalan yang sehala sahaja. Kadang-kadang, anda boleh je U-Turn, tukar hala tuju, berlari, berjalan..

Sebab dunia muzik adalah tempat untuk anda “berkarya”. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *