“..Lagu Raya dulu lagi best..”

Bila setiap kali musim raya je, mesti akan yang bawa keluar ayat ini :

“..Lagu raya dulu lagi bagus dan best..”

“..Lagu raya sekarang entah apa-apa..”

“.. Lagu raya dulu memang melekat sampai sekarang, lagu sekarang? Hari ini dengar esok lupa..”

Ya. Faham. Ramai juga yang bersetuju dengan pendapat di atas. Bukan sahaja dalam kalangan layman (seseorang yang bukan profesional, terlibat langsung dengan akiviti seni) sahaja, sebahagian pengkarya yang terlibat secara langsung pun ada yang berpendapat sebegitu.

Ini pendapat saya. Hanya nak kongsikan secebis hasil dari pemerhatian dan terlibat langsung dalam industri muzik.

Pandangan marhaen sahaja. Kalau tak setuju, saya raikan.

1. Lagu raya dulu memang lebih bagus dari lagu raya sekarang? Atau kita yang terlebih nostalgia?

Lagu raya dulu maksudnya 10-15 tahun lepas la kot kan? Ke sebelum lagi? Tahun 70an? 80an? 90an?

Zaman itu lirik memang kaya dengan kosa kata.. Melodi memang pekat dengan lenggok kemelayuannya. Cukup rencahnya.

Tapi kita kena jujur juga. Bukan semua lagu raya dulu bagus dan boleh diterima kesemuanya. Ada yang biasa-biasa. Ini dipanggil survivorship bias. Kita hanya ingat yang berjaya. Yang gagal kita lupa.

Lagu-lagu yang menjadi, yang bertahan berpuluh tahun, dan kedengaran lebih “syahdu” sebenarnya sebab nostalgia.

Duit raya.
Main mercun.
Main meriam buluh.
Balik kampung.
Suasana di kampung.
Rumah atuk nenek.

Semua itu memori yang melekat sekali dengan kita sehingga hari ini.

Bila kita dengar lagu yang sama, setiap kali raya, balik-balik lagu itu je yang kita dengar, ditambah pula memori zaman kanak-kanak, 10 -20 tahun kehadapan, bila dengar balik lagu itu kita dengar kita bawa sekali emosi lama.

Sebab itu lagu dulu jadi lebih syahdu.

2. Telinga kita dulu tak kritis macam sekarang.

Point ini jarang kita bincang. 10-20 tahun dulu, cara kita dengar lagu sama ke macam sekarang?

Dulu waktu kita dengar lagu kita jadi pendengar yang teliti ke?

Waktu masa kita budak, umur 9-10 tahun, macam mana kita dengar lagu raya waktu itu?

Kita :

Tak analisis pun struktur lagu.
Chord progression lagu.
Mixing seimbang ke tak.
Sebutan dalam nyanyian betul ke tak.

Kita cuma dengar dan rasa sahaja. Bagi lalu sahaja di telinga tanpa mengkritik, dan menilai.

Sekarang, dengan kematangan usia dan pendedahan muzik yang lebih luas, cara mendengar dah berubah. Keupayaan mendengar lagu dengan lebih teliti dan detail jadi lehih sensitif.

Maknanya, standard kita naik. Expectation kita pun naik sekali. Sebab itu bila kita dengar lagu raya sekarang kita “rasa” macam ada je banda yang tak cukup. Ada je yang tak kena.

3. Lagu jadi best sebab ulang dengar banyak kali.

Pernah tak alami? Saya pernah. Banyak lagu yang dulu saya tak suka, hari ini saya suka.

Masa lagu tu mula-mula rilis rasa biasa. Tak nampak dan tak dapat rasa apa yang best. Tapi bila saya beri peluang pada diri saya untuk dengar ulang-ulang, selepas setahun dua.. eh! Best pula lagu ni.

Lagu itu tetap macam tu. Tak berubah pun. Tapi..

Dulu kita dengar tak best, sekarang best. Maknanya apa?

Kita yang berubah. Kita yang makin biasa dengan lagu tu.

4. Lagu Raya sekarang tak best sebab belum ada memori.

Kita kena bertenang kejap. Bukanlah saya nak mensucikan lagu-lagu raya sekarang cumanya kita kena bertenang dan tak cepat melatah.

Kita kena adil.

Kita kena terima realiti yang mana :

Kita belum ada lagi memori yang kuat dengan lagu raya sekarang.
Belum ada emosi yang melekat.
Belum cukup masa, belum matang.

Bayangkan lagi 10-15 tahun akan datang.

Anak-anak kita yang membesar dengan lagu raya generasi sekarang, bagi mereka inilah lagu raya yang tangkap emosi mereka.

Dan mungkin, kita juga pun begitu. Bila dengar balik. Eh! Okay juga lagu ni!.

Setuju atau tak?

Kalau setuju okay. Tak setuju pun okay. Saya pasti anda ada alasan tersendiri. Anda ada pilihan nak dengar atau tak.

arrow

Hai! Saya Syahir Miswan, pemilik Longan Garage Studio. Sayalah yang tulis perkongsian tadi tu. Tuan Puan minat muzik? Anda ada banyak lagu yang dah dicipta tapi belum pernah mula lagi rakam lagu secara proper di studio?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *