
Industri muzik sekarang bergerak terlalu pantas. Cara kita cipta lagu, merakam, mempromosi lagu, jana pendapatan dengan lagu dah tak sama macam 10-15 tahun yang lalu.
Tahun 2026, bukan lagi tentang siapa yang paling berbakat semata-mata, tetapi siapa yang paling bersedia, konsisten, dan faham ekosistem muzik semasa.
Dalam perkongsian ini, kami nak susun untuk anda 6 perkara yang kita semua perlu beri perhatian.
Siapa? Penyanyi. Pemuzik, pencipta lagu, pencipta lirik, pengkarya.
Terutamanya kepada mereka yang baru nak mula langkah dalam industri, yang masih dalam peringkat awal. Yang serius nak “level up” ke anak tangga yang seterusnya.
#1 Bentuk identiti & Positioning sebagai pengkarya (penyanyi, pencipta lagu, pencipta lirik)
Langkah pertama yang sering diabaikan adalah kita lupa nak perkenalkan kita “siapa”. Ramai menunggu sehingga lagu viral atau dah popular baru nak fikirkan tentang “siapa” kita. Kita nak orang kenal sebagai apa?
Identiti ini perlu dibentuk seawal mungkin walaupun masih belum dikenali. Macam mana nak bentuk identiti?
Mudah sahaja. Tak perlu terlalu rumit. Cukup sahaja dengan menjawab beberapa soalan asas ini.
- Anda nak dikenali sebagai? Penyanyi? Pencipta lagu? Pencipta lirik?
- Apakah genre/style utama anda?
- Apa yang unik tentang diri anda?
Lagi jelas identiti anda, lebih mudah audience dan pendengar nak faham siapa diri anda.
#2 Fahami asas Hak Cipta dan Pendapatan Muzik.
Buat lagu, buat lagu juga. Tapi jangan sampai tak ambil peduli langsung tentang hak anda. Setiap lagu yang anda cipta dan disiarkan, anda berpotensi untuk menjana pendapatan.
Paling tidak, tahun 2026, anda ambil tahu serba sedikit tentang MACP, RPM, jenis-jenis royalti dan sebagainya.
Sekarang lebih mudah. Nak daftar MACP dah tak perlu sampai 5 lagu. Cukup anda memiliki 1 rakaman lagu dah membolehkan anda untuk daftar ke MACP. Daftar ahli pula semuanya atas talian sekarang.
#3 Daftar Badan Kutipan Royalti (MACP & RPM)
Proses sekarang lebih mudah tanpa perlu isi borang fizikal. Boleh daftar online.
Nak daftar MACP, Tekan link ini : https://www.macp.com.my/musiccreators
Nak daftar RPM, Tekan link ini : https://members.rpm.my/sign-up
Bila anda dah daftar, ada banyak kelebihan :
- Hak cipta anda lebih terurus.
- Dapat jana pendapatan sampingan.
- Anda lebih bersedia bila lagu mula mainkan di radio, dan TV.
Langkah ini mungkin kecil, rasa remeh. Tapi ia adalah langkah awal ke arah professionalism dalam perjalanan muzik anda.
#4 Belajar Asas AI Muzik dan Cara Menggunakannya.
Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi tentang masa depan. Tetapi ianya dah pun menjadi realiti. Usia AI muzik baru 5 tahun (lebih kurang). Masih di peringkat awal. Cuba bayangkan lagi 5 tahun yang akan datang? Kita kena akur lanskap dunia muzik sekarang sudah berubah.
Siapa yang masih belum cuba untuk belajar tentang AI, boleh ambil semangat tahun 2026 untuk mula juga belajar supaya kita tidak ketinggalan.
Namun! Penting untuk kita faham bahawa AI adalah alat, bukan pengganti kreativiti. Fokus utama adalah :
- Memahami apa itu AI muzik dan cara ianya berfungsi.
- Belajar cara menulis prompt yang jelas dan berkesan.
- Guna ilmu muzik + bantuan AI untuk anda berkesperimen.
Apabila kita guna dengan cara yang betul, AI boleh menjimatkan masa dan membuka ruang yang lebih besar untuk anda teroka tanpa menghilangkan identiti muzik anda.
#5 Rancang dan Mula Rakaman Lagu Pertama Anda
Bagi yang masih belum mula, apa yang menjadi halangan untuk anda mula merakam lagu? Rasa takut? Tak yakin?
Takut rasa tak cukup bagus? Takut tak ada orang yang akan dengar lagu anda?
Realitinya, tiada lagu pertama yang sempurna. Rakaman lagu pertama anda adalah proses anda belajar.
Anda akan belajar tentang :
- Proses rakaman di studio.
- Anda akan tahu limit dan kelemahan yang anda boleh tambah baik di masa akan datang.
- Anda membuka ruang diri anda untuk penambahbaikan.
#6 kuasai Media Sosial Untuk Bina Follower.
Media sosial bukan lagi pilihan tetapi keperluan. Platform seperti TikTok, Facebook, Instagram, Threads, YouTube – guna dengan cara yang betul, dapat Tarik lebih ramai pendengar dan follower.
Fokus utama anda :
- Tak perlu guna semua platform. Pilih satu atau dua pun cukup.
- Yang paling penting adalah konsisten bina content.
- Buat Live supaya anda dapat “interact” terus dengan penonton.
Tahun 2026. Cuba untuk konsisten. Belajar untuk lebih terbuka dengan perubahan. Tak mengapa jika tak sempurna. Yang penting rancang, mulakan tindakan. 😉

