Hari tu saya ada buat 1 posting di Thread. Dalam posting tu saya tulis begini.

Komposer dan penulis lirik : Daftar MACP
Pemuzik dan penyanyi : Daftar RPM
kemudian ada lah dalam beberapa orang yang komen.
Tapi ada satu komen ni yang buatkan saya untuk explain lebih detail. Bukan apa, takut ada yang masih salah faham.

Mari saya terangkan..
Dia macam ni, bukan tak boleh.
Anda rakam lagu, dah siap lagu tu, anda pergi daftar RPM atau MACP.
Selesai. Memang boleh.
Anda akan dapat jadi ahli berdaftar RPM (Recording Performers Malaysia) atau MACP (Music Authors’ Copyright Protection).
Tapi, so what? Lepas tu apa?
Itu bukan tujuan utama kenapa badan-badan ni wujud. Tujuan sebenar kita daftar MACP, daftar RPM dan semua badan pelesenan ni, adalah untuk kumpul seberapa banyak hasil (dalam bentuk royalti) atas segala usaha, penat lelah, dan pelaburan yang anda dah buat untuk hasilkan lagu tersebut.
Anda kena buang satu mindset ni jauh-jauh:
RPM dan MACP takkan bagi anda royalti macam gitu je semata-mata sebab anda dah bergelar “ahli”.
Bukan macam tu cara dia berfungsi.
Untuk berjaya membina pendapatan pasif (tak kisah banyak atau sikit) dalam industri muzik ini, anda kena faham framework dan business model macam mana RPM dan MACP ni beroperasi.
Bagaimana Sistem Royalti Berfungsi Sebenarnya?
Katakanlah:
Anda buat lagu. Anda sendiri tulis lirik dan anda cipta melodi, dan menyanyi.
Lagu anda tu, secara automatik dilindungi hak ciptanya (copyright). Orang di luar sana tak kiralah stesen radio, stesen TV, shopping mall, hotel, cafe, restoran, majlis kahwin, atau penganjur acara, secara undang-undangnya tak boleh suka-suka pasang lagu anda kepada umum melainkan mereka dah dapat kebenaran (permission).
So, siapa yang pegang dan uruskan permission tu?
Jawapannya adalah badan pelesenan macam MACP, RPM, dan PPM.
Setiap kali lagu anda on air atau dimainkan secara terbuka di tempat awam, tempat-tempat ni tadi semua wajib bayar permit atau lesen.
Duit lesen yang stesen radio, TV, dan restoran ni bayar itulah yang akan dikumpulkan.
Jadi, kerja siapa nak pergi kutip hasil anda dari tempat-tempat ni semua? Takkan anda sendiri nak ketuk pintu setiap kafe tanya
“hari ni ada pasang lagu aku tak?”
Di sinilah MACP dan RPM main peranan.
Kerja meraka adalah tolong kutip wang pelesenan ini bagi pihak ahli-ahli. Sebab itulah penyanyi, pemuzik, dan komposer ramai-ramai pergi mendaftar.
Supaya setiap kali lagu anda dipasang di khalayak ramai, dan ada bukti rekod putaran (airplay), anda akan dapat bahagian hasilnya.
Ilusi “Upload YouTube” dan Terus Mengharapkan Duit
Berbalik pada soalan tadi. Anda rasa, dengan semudah itu anda rakam lagu sendiri, upload lagu di YouTube, dan anda terus dapat hasil royalti yang lebat dari RPM atau MACP?
Jawapannya :Tak
Realitinya tak semudah itu.
Paling mudah sebenarnya dekat bab daftar tu je.
Kalau kita fikir selapis, ya. Anda isi borang, hantar dokumen, daftar, dan
Yay!!! Dah jadi ahli.
Tapi, what is the point kalau anda sendiri tak usaha dan gerakkan lagu anda tu?
❌ Anda tak buat kerja-kerja promosi.
❌ Lagu anda tak ada siapa kenal. Tak ada siapa dengar.
❓ Kalau anda tak buat kerja-kerja marketing ni, macam mana anda nak create demand supaya stesen radio, TV, atau kafe nak mainkan lagu anda?
❓ Kalau lagu anda tak dimainkan di mana-mana tempat yang berlesen, tak ada airplay, tak ada log report putaran lagu… then, mana nak datang royaltinya?
Mana nak dapat hasilnya? Sifar darab apa pun, tetap sifar.
Senarai Kerja Kalau Betul-Betul Nak Rasa Hasil Royalti
Sebab itu, kalau anda betul-betul nak rasa hasil royalti, anda kena gerakkan lagu tu. Kena push lagu tu.
✅ Pengedaran Digital (Digital Distribution):
Jangan sekadar upload di YouTube secara semberono. Gunakan distributor atau aggregator digital yang betul untuk hantar lagu anda ke platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan Joox.
✅ Kenal Pasti Audiens anda:
Lagu anda genre apa? Siapa yang dengar? Kalau lagu tu mesra radio, anda kena mula hantar (atau guna servis PR) untuk pitch lagu tersebut kepada stesen radio. Jangan kejar sangat radio swasta yang besar tu. Dapatkan tempat dulu di radio-radio kerajaan, atau radio negeri.
Kejar yang kecil dulu, yang BESAR akan datang kemudian.
✅ Pemasaran Media Sosial & Konten:
Zaman sekarang, lagu takkan meletup sendiri. Anda kena buat konten. Buat video pendek di TikTok, Instagram Reels, atau YouTube Shorts. Cerita di sebalik tabir pembikinan lagu. Tarik perhatian orang untuk pergi strim lagu penuh anda.
✅ Jalinkan Rangkaian (Networking):
Untuk yang super-duper rajin dan berani, cari peluang untuk hantar lagu anda jadi runut bunyi (OST) drama, filem, atau kempen-kempen korporat. Putaran di televisyen adalah salah satu penyumbang royalti yang sangat besar.
✅ Kualiti Produksi Mesti “Standard Industri”:
Ini paling asas. Lagu yang nak dihantar ke radio atau TV mesti di adun (mixed) dan di-mastering dengan kualiti yang menepati piawaian penyiaran. Kalau rakaman pun bunyi amatur, vokal tenggelam timbul, radio pun tak nak pasang. Sebab tu penting hantar lagu untuk diproses di studio yang betul-betul faham kualiti.
Tanya balik pada diri : Niat asal rakam lagu sebab apa?
Pada penghujung hari, semuanya berbalik kepada niat dan objektif apa yang kita nak capai. Kalau anda sekadar buat muzik…
nak suka-suka, isi masa lapang, nak hilangkan stress kerja dan langsung tak mengharapkan hasil pulangan berbentuk duit, itu lainlah ceritanya…
Anda buat lagu semata-mata untuk kepuasan diri yang utama. Itu tak salah, dan anda mungkin tak perlu nak pening kepala fikir pasal RPM atau MACP. 😄
Tapi, nak buat apa-apa pun dalam industri ni, anda kena faham kenapa anda buat benda tu.
Jangan pergi mendaftar semata-mata sebab “orang suruh”, “nampak gempak jadi ahli”, atau sekadar nak tayang sijil keahlian tanpa faham gerak kerja dan tanggungjawab di sebaliknya.
Fahamkan proses, rajinkan diri push lagu, dan hargai karya anda sebagaimana anda nak pendengar dan industri hargainya.

