“kau tiru ni… macam sama je..”

Pernah tengok tak?

Kita tengah lepak scroll main medial sosial tertengok ada satu lagu penyanyi ni perform. Kita pun dengar lah. Sekali…

“Eh, suara dan style dia sama macam artis XXX la..”

Dalam hati kita mesti terfikir penyanyi tu sedang tiru penyanyi lain. Kalau kita kat tempat penyanyi tu, apa kita rasa kalau orang kata tiru stail, tiru suara, tiru muzik penyanyi lain?

Mestilah rasa tak sedap hati. Sebab dicop peniru.

Padahal, tak ada niat nak tiru. Cuma dah kebetulan macam sama. Nak buat macam mana. Kan?

Itulah dilema sebahagian artis atau penyanyi baharu yang mula memasang niat nak melangkah kaki ke dalam industri. Nak hasilkan sebuah lagu, bukan mudah. Nak menyanyi, bukan mudah.

Dalam fikiran kita :

Sebahagian bakat-bakat baharu tersangkut lama dalam fasa berfikir, menyebabkan lagu-lagu hebat mereka tersimpan kemas dalam kepala tanpa temui jalan untuk rakam dan diperdengarkan.

Sebenarnya, ada satu video yang saya tertonton (tak lah tak sengaja, saya sebenarnya memang suka follow seorang pakar ni), di Facebook. Ada satu soalan yang ditanya kepada pakar tu, “macam mana nak jadi diri sendiri? Nak ada originality sebagai speaker?”

Oh ya, video yang saya tonton tu adalah video Vinh Giang, seorang Magician, Jurulatih Komunikasi dan Entrepreneur.

Jadi, soalan itu ditanya oleh peserta dalam kelas dia. Tau apa yang Vinh ni jawab apabila ditanya soalan tu?

Ini jawapan dia.

“..If you steal from one author, it’s plagiarism; if you steal from many, it’s research..”

Vinh petik ayat ni. Dia kata ayat ni terucap dari seorang pakar penulis dari barat, Wilson Mizner.

Apa maksud ayat ni?

Kita baca sekali lagi.

“..If you steal from one author, it’s plagiarism; if you steal from many, it’s research..”

Kalau dalam terjemahan Bahasa Melayu, maksudnya adalah :

Jika kamu curi dari seorang penulis, itu adalah plagiat. Jika kamu curi dari ramai penulis, itu adalah sebuah kajian.

Jika kita terjemahkan lagi, untuk konteks membina personaliti dan stail bagi seorang ahli seni (ambil contoh sebagai penyanyi), jika kita hanya tiru atau ada seorang sahaja mentor, seorang sahaja penyanyi yang kita minat, seorang sahaja penyanyi yang kita dengar lagunya, itu namanya plagiat. Tetapi, jika kita mengambil inspirasi daripada ramai orang, itu namanya kajian.

Falsafah ini sangat terpakai dalam dunia seni muzik. Jika kita nak ada keunikan sendiri, kuncinya adalah kita kena ada seramai mungkin guru atau penyanyi untuk dijadikan inspirasi. Jangan hanya ikat diri kita dengan seorang sahaja.

Bahaya Apabila Hanya Berkiblatkan Satu Rujukan.

Apabila anda baru berjinak-jinak dalam penulisan lirik, komposisi melodi, atau nyanyian, mempunyai idola atau mentor adalah perkara yang bagus. Tapi, jika anda mengehadkan rujukan anda kepada seorang individu sahaja, anda sebenarnya sedang meletakkan kreativiti anda dalam risiko.

Tanpa sedar, anda akan mula bertukar menjadi “klon” atau sekadar bayang-bayang kepada idola tersebut. Orang luar, terutamanya peminat tegar muzik dan pemain industri, sangat cepat mengesan persamaan ini. Mereka tidak akan teragak-agak untuk melabel anda sebagai seorang peniru yang tiada identiti sendiri.

Akhirnya, hasil kerja seni anda menjadi sangat terhad di dalam ‘kotak’ pemikiran mentor itu sahaja.

Sebagai contoh, jika anda hanya mendengar dan meniru gaya penyampaian atau corak susunan muzik (music arrangement) seorang artis indie tertentu secara bulat-bulat, lagu yang anda hasilkan akhirnya hanya akan kedengaran seperti versi gred kedua artis tersebut, bukannya sebuah karya baru yang segar.

Bagaimana “banyak Guru” Melahirkan Originaliti?

Bagaimana dengan meniru atau mengambil ilmu daripada ramai orang boleh menghasilkan sesuatu yang asli?

Proses ini sebenarnya sangat mirip dengan cara seorang chef mencipta resipi masakan yang baru di dapur. Jika anda mengambil resipi bulat-bulat daripada sebuah kedai makan, hidangan anda akan rasa sebiji seperti kedai tersebut. Namun, jika anda olah sedikit resepi kedai makan itu, dengan menggabungkan resepi orang lain (mentor lain), hasilnya akan sedikit berbeza, kan?

Di sinilah berlakunya proses kreativiti itu. Bayangkan dalam proses membuat lagu, anda mengambil elemen rentak dram (groove) daripada Idola Pertama, teknik kawalan vokal daripada Idola Kedua, dan falsafah penulisan lirik yang puitis daripada Idola Ketiga. Apabila kesemua elemen yang berbeza latar belakang ini bertembung dalam kepala anda, ia akan ditapis secara semula jadi melalui pengalaman hidup, emosi, dan personaliti unik anda sendiri. Hasil akhir daripada pertembungan idea-idea ini ialah sesuatu yang segar, baharu, dan belum pernah dibuat oleh orang lain sebelum ini.

Menghilangkan “Jejak” Rujukan Asal

Kelebihan utama apabila anda mempunyai rujukan yang terlalu banyak dan datang daripada genre yang berbeza-beza adalah anda dapat hilangkan jejak rujukan asal. Apabila audiens mendengar lagu anda, mereka tidak lagi mampu meneka dengan tepat siapakah pengaruh utama di sebalik karya anda.

Jejak-jejak tiruan yang kaku itu terus hilang dan menjadi sebuah karya yang mempunyai identiti anda sendiri. Apa yang tinggal dalam produk akhir (lagu) anda hanyalah sebuah karya yang sangat unik dan tersendiri.

Sebagai contoh, jika anda menggabungkan elemen melodi tradisional Melayu dengan rentak synth-pop moden, orang tidak akan berkata anda meniru artis A atau artis B, malah sebaliknya.

Membina ‘Suara’ atau Signature Sendiri

Originaliti bukanlah sesuatu yang jatuh dari langit. Ia adalah sebuah proses evolusi yang memerlukan latihan dan eksperimen yang berterusan. Malah, boleh jadi bertahun-tahun.

Lama-kelamaan, apabila anda sudah terbiasa ‘mencuri’ ilmu, teknik, dan estetika daripada pelbagai guru, idola, mentor, anda akan mula menyedari kehadiran satu corak (pattern) tertentu yang paling serasi dengan jiwa anda.

Lama-kelamaan, corak yang berulang inilah yang akhirnya membentuk acuan tersendiri, yang kita panggil sebagai Originaliti sebagai seorang artis. Apabila anda berada di dalam bilik rakaman, cara anda menyampaikan melodi dan memilih kosa kata dalam lirik akan keluar secara semula jadi tanpa perlu dibuat-buat lagi.

Ekstra: Cari Rujukan dari Luar Bidang Muzik

Rujukan kita terhad ke hanya dalam bidang muzik? Tak.

Kreativiti tidak terhad hanya dengan satu bidang. Malah, jangan mengehadkan pencarian mentor atau inspirasi dalam bidang muzik sahaja. Cuba keluar dari kepompong kebiasaan.

Jika anda seorang penyanyi, jangan hanya mengkaji penyanyi lain. Cuba kaji bagaimana seorang pelakon yang hebat menterjemahkan sebuah skrip kedalam bentuk sebuah lakonan, atau bagaimana seorang pelukis bermain dengan ton warna untuk menyampaikan emosi tertentu. Hasilnya mesti berbeza!

arrow

Mencari studio rakaman lagu yang boleh faham apa yang anda nak? Tekan sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *