Anda masa mula-mula nak berkecimpung dalam dunia muzik, mesti pernah dengar orang cakap ni :
“Kalau nak jadi terer, nak gempak, nak bagus, kena praktis sekurang-kurangnya 8 jam sehari..”
Bunyi macam ayat motivasi, tapi hakikatnya ayat ni lebih buat orang rasa tertekan.
Sebab? Realitinya…
Tak semua orang ada 8 jam sehari hanya semata-mata untuk praktis. Kita kena sedar yang :
Ada orang dia ada kerja hakiki.
Ada yang student/pelajar.
Ada keluarga yang nak kena jaga.
Ada bisnes yang nak kena urus.
Kebanyakkan masa kita habis untuk urusan lain.
Jadi, macam mana? Tak ada masa, macam mana nak praktis?
Yang ini kita kena ubah. Cuba tukar dari :
“berapa lama nak kena praktis?”
Kepada :
“Apa yang aku buat, perlu fokus masa aku praktis?”
Realiti yang perlu kita tahu : 1-2 Jam sehari sebenarnya memadai.
Ya. 1-2 jam sahaja dah cukup untuk kita improve skill muzik kita. Tak kisah lah skill menyanyi, cipta lagu, main gitar, main piano, kompos lagu, buat susunan muzik (music arrangement).
1-2 jam memadai kalau dibuat dengan cara yang betul.
Betulkan dulu cara praktis. Praktis yang berkesan ada 3 elemen ini :
- Ada hala tuju.
- Fokus.
- Konsisten.
Ramai yang praktis lama, tapi tak tahu apa yang dia nak praktis, tak tahu apa yang perlu improve. Jadi tak fokus. Akhirnya? Burn out sebab tak nampak improve. Sama macam sebelum-sebelum ini. Bila dah tak berapa nak nampak hasilnya? Praktis jadi tak konsisten.
Praktis sampai 8 jam (maksud disini adalah praktis yang makan masa lama berjam-jam. Bukanlah rigid 8 jam) sehari tak bermaksud tak okay. Cuba kita semak balik. Kita praktis berjam-jam tu, berapa lama je kita boleh fokus? 1-2 jam pertama tu je. Selebihnya? Kepala dah melayang ke tempat lain.
Akhirnya? Yang dapat penat, letih. Improvement tak seberapa.
Kualiti Praktis lebih penting dari kuantiti.
Macam mana praktis yang berkualiti itu?
Kita tahu angle/bab/perkara yang kita lemah.
Kita tahu yang mana nak perbaiki.
Kita tahu mana nak fokus untuk kita improve.
Contoh :
Bila nyanyi selalu tak ikut tempo – Fokus praktis jaga tempo.
Pitch selalu “lari” – Fokus praktis jaga pitch.
Bila buat lirik ayat tak puitis/terlalu biasa-biasa – Fokus praktis belajar perkataan-perkataan baru.
Kadang-kadang, praktis yang berstruktur ini lebih memberi kesan walaupun masa praktis tak lama.
Konsisten jauh lebih bagus dari praktis yang ekstrim
Ini penting.
Praktis 1-2 jam setiap hari berbanding praktis 8 jam hari ini, bulan depan baru praktis balik.
Mana yang lebih baik?
Kemahiran bermuzik terbina melalui :
- Muscle memory.
- Pendengaran.
- Koordinasi otak dan badan
Semua ini perlukan ulangan harian, bukan sekali sekala. Ibarat kalau kita bersenam :
Buat workout sehari, lepas tu cuti seminggu.
Berbanding workout sederhana yang konsisten.
Yang konsisten itu yang nampak hasil kan?
Tapi….
Bila sebenarnya praktis 8 jam sehari ini jadi masuk akal?
- Kalau memang anda kerja sepenuh masa dalam muzik. Anda pemuzik spenuh masa yang cari makan dengan bermain muzik.
- Anda pelajar muzik yang ambil jurusan muzik.
- Anda terlibat konsert atau persembahan berskala besar.
Kalau anda salah satu dari 3 point di atas, itu lain cerita. Itu pun, bukan 8 jam tanpa henti. Biasanya dibahagikan kepada beberapa sesi dengan rehat.
Untuk konteks bagi kebanyakkan orang biasa yang ada kerja hakiki selain dari muzik, 1-2 jam praktis paling praktikal.
Kami kongsikan sikit rutin yang anda boleh buat untuk praktis 1-2 jam sehari. Lebih realistik untuk anda.
Sebagai contoh, kita ambil maksimum 2 jam sehari, boleh disusun sebegini. Katakan anda sebagai penyanyi :
10 – 15 minit : Warm up /teknik asas
30 minit : Fokus pada satu kelemahan utama anda.
30 minit : Aplikasi pada lagu sebenar.
10 – 15 minit : Rakam apa yang anda praktis & reflesi.
Cuba buat. Cuba konsisten. Mula dulu. Buat dahulu 1 bulan. Tak perlu fikirkan sangat susah tu. Buat sahaja.
Selepas sebulan, mesti nampak perubahan, kan?
Jom Recap :
Praktis 8 jam sehari ini sebenarnya buat orang ramai rasa :
- Rasa diri tak cukup bagus.
- Rasa muzik ini hanya unutk orang yang ada masa.
- Rasa burn out, hilang terus motivasi nak belajar.
Sedangkan realitinya mudah. Bukan tentang berapa lama anda praktis. Tapi apa yang anda boleh fokus waktu praktis.
Nak jadi bagus bukan kerja sehari dua. Ianya kerja bertahun-tahun. Hanya dengan betulkan mindset, praktis dengan cara yang betul. Kita bukan nak jadi hebat hari ini. Memadai jika dapat lebih baik sedikit daripada semalam.
Selamat berpraktis!