Hakikat Muzik AI, isu Originaliti, dan Implikasi Undang-Undang

Pengenalan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif audio seperti Suno dan Udio pernah digembar-gemburkan sebagai satu revolusi dalam proses penghasilan muzik. Hanya dengan memasukkan beberapa baris arahan teks (prompt), sesiapa sahaja mampu menghasilkan sesebuah lagu lengkap berserta vokal dan susunan muzik dalam tempoh beberapa saat.

Sebelum kita pergi lebih jauh. Mari kita faham dulu apa itu Lagu AI dan Muzik AI.

Lagu AI – Lirik dan Melodi yang terhasil dari janaan AI.
Muzik AI – instrument dalam lagu yang terhasil dari Janaan AI.

Namun, di sebalik keterujaan teknologi ini, timbul satu persoalan asas yang cukup kritikal buat penggiat dan peminat seni:

Adakah muzik janaan AI ini mampu berdiri sebagai sebuah karya seni yang mampan, atau sekadar keterujaan yang sementara?

Bagi memahami fenomena ini secara mendalam, kita perlu menilai realiti sebenar di sebalik muzik AI daripada sudut estetik produksi, psikologi pendengar, serta implikasi undang-undang hak cipta global.

Mengapa Muzik AI Menjadi Fenomena?

Pada fasa awal pengenalannya, muzik AI berjaya meraih perhatian umum berlandaskan beberapa faktor utama :

  1. Faktor Keunikan dan Curiosity : Pendengar teruja melihat bagaimana sebuah mesin mampu meniru muzik manusia, termasuk gabungan pelbagai jenis genre dan stail muzik atau simulasi vokal artis-artis sedia ada.
  2. Akses kepada sesi experimental (What If?) : AI membolehkan peminat mendengar dan mencubaa pelbagai jenis imaginasi yang tidak mungkin berlaku di alam realiti atas faktor kos atau masa.
  3. Membolehkan lagu dihasilkan mengikut spesifikasi khusus individu untuk kegunaan harian.

Walau bagaimanapun, daya tarikan ini kebanyakannya bersifat dasar dan tidak membina asas yang kukuh untuk nilai seni jangka panjang.

Mengapa Muzik AI Kehilangan Jiwa dan Originaliti?

1. Bunyi muzik AI sama semuanya.

Jika didengar secara teliti dari sudut penciptaan muzik Ai itu sendiri, kelemahan muzik AI terserlah secara ketara. Muzik yang dijana menggunakan AI kedenganranya terlalu sama dengan lagu-lagu janaan AI yang lain. Elemen asas dalam sesebuah lagu seperti corak Kick, Snare, Cymbal dalam lagu AI, kerap kali kedengaran sama.

Ambil satu 1 lagu genre rock hasil janaan AI, dengar Kick Drum dalam lagu tersebut, kemudian, bandingkan dengan lagu AI yang lain. Anda akan dengar sama sahaja tone bunyinya. Bukan satu dua yang sama. Tapi, kebanyakkanya sama.

Berbeza dengan penerbit manusia yang meluangkan masa berjam-jam untuk mereka hasilkan bunyi, serta pemetaan dinamik (velocity) demi mendapatkan keaslian sentuhan manusia (human feel), AI hanya memberikan output sintetik secara berulang. Apabila semua lagu berpunca daripada set data yang serupa, nilai keunikan (originality) itu lupus secara tidak langsung.

2. Gagal Membina Pendengar Setia

Ketiadaan Originaliti dalam sesebuah produksi lagu akan mengakibatkan kita gagal untuk membina pendengar yang setia. Lagu janaan AI mungkin dapat meraih jumlah streaming yang tinggi, tetapi ia sekadar menarik pendengar sementara. Siapa pendengar sementara itu? Golongan yang tertarik kerana faktor gimik teknologi, bukannya tertarik pada “perjalanan” sesebuah karya yang terhasil.

Pendengar jenis ini tidak akan membeli barangan dagangan seperti merchandise, tidak akan hadir ke persembahan langsung (live), dan tidak membina kesetiaan jangka pankang terhadap seseorang artis.

3. Muzik AI yang “sempurna”

Angka streaming yang mencecah ratusan ribuan pada lagu AI bukannya isyarat bahawa lagu tersebut merupakan sebuah mahakarya, tetapi ianya hanya refleksi keterujaan masayrakat terhadap kepantasan teknologi. Apabila teknologi menjadi sesuatu yang biasa (mungkin ambil masa 2-3 tahun lagi), hengatan tersebut akan beransur pudar.

Sesebuah karya yang diangkat sebagai sempurna itu adalah kerana manusia itu sendiri. Sifat manusia yang tak sempurna menjadikan sebuah lagu itu dilihat sebagai karya yang lebih jujur. Keterbatasan kemahiran dan ilmu seni menjadikan manusia itu mempunyai ruang untuk tambah baik menjadikan seni seseorang manusia itu tidak kaku dan sentiasa berubah.

4. Realiti Undang-undang : Isu Hak Cipta dan Kebenaran yang terbongkar

Isu muzik AI tidak hanya terbatas pada topik yang berkisarkan tentang kualiti seni, malah kini menjadi medan pertempuran undang-undang paling besar dalam sejarah industri muzik moden.

Syarikat AI yang berteraskan hujah Fair Use, kini semakin goyah di mahkamah. Tuntutan saman daripada gabungan syarikat rakaman gergasi seperti Sony Music dan Universal Music Group, serta tindakan undang-undang kelompok (class action lawsuit) oleh artis indie, mendapati bahawa platform AI seperti Suno melatih model mereka dengan memintas sistem keselamatan untuk memuat turun (stream-ripping) puluhan juta lagu secara haram.

Dapatan dari pakar forensik yang mengesan pemprosesan puluhan ribu lagu hak cipta secara tidak sah telah mengubah persepsi umum : Platform AI muzik bukan hanya “belajar” cara membuat muzik, tetapi menggunakan hasil kerja orang lain tanpa kebenaran demi mengaut keuntungan perniagaan.

Apa implikasinya?

  1. Syarikat AI tidak lagi boleh mengambil data hak cipta secara percuma atas alasan untuk latihan model.
  2. Platform AI dalam fasa memasuki perjanjian berlesen dan perlu membayar royalty kepada pemegang hak cipta asal.
  3. Spotify, Apple Music, dan YouTube giat memperketatkan algoritma bagi mengesan dan menapis lagu tanpa lesen yang mempuyai jejak AI.

Kesimpulan yang dapat kita belajar..

Kecerdasan buatan (AI) bukanlah musuh yang patut kita buang jauh-jauh. Tetapi, ia sepatutnya digunakan dengan berhemah serta terkawal. AI sangat sesuai untuk dijadikan pemudahcara kerja dan sebagai alat rujukan untuk memberi kita idea awal, bukan untuk diangkat sebagai produk seni akhir. Semestinya ia tidak dapat menggantikan kredibiliti serta sentuhan ikhlas anda sebagai seorang pengkarya tulen.

arrow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *