Apabila masyarakat bercerita tentang muzik dan ahlinya, kebanyakkan masyarakat masih memandang serong kepada kerjaya sebagai orang seni seperti penyanyi dan pemuzik.
Kita tidak dapat nafikan, persepsi mereka terhadap kita adakalanya betul. Ada dalam kalangan orang seni seperti komposer, penyanyi, penulis lirik mahupun pemuzik yang membuat onar mengakibatkan persepsi ini sudah bertapak lama dalam minda masyarakat kita.
Tetapi, sebagai pengkarya yang baru berjinak dan baru sahaja melangkah masuk ke dalam industri, sudah tentu kita tidak perlu ikut jejak langkah orang lama yang tidak betul itu.
Kita sebagai orang seni baru, perlu belajar untuk menangkis segala persepsi negatif masyarakat terhadap orang seni.
Perkongsian kali ini, adalah 8 cara bagaimana nak menangkisnya.
#1 Bertutur bahasa tinggi
Apabila kita berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, kita perlu menggunakan laras bahasa yang betul. Dengan menggunakan laras bahasa yang betul, kita dapat mencipta persepsi yang baik terhadap diri kita. Kenali dengan siapa kita bercakap. Gunakan bahasa yang baik.
#2 Pandai bersosial
Jadilah orang seni yang pandai bergaul dengan sesiapa sahaja. Murahkan senyuman apabila bertemu dengan masyarakat. Bergaulah dengan cara yang baik.
#3 Tampil dengan penampilan yang baik
Penampilan anda mestilah nampak kemas. Sebagai contoh – Jika anda berambut panjang pastikan anda urus rambut anda supaya tidak nampak serabut dan tidak terurus. Pakaian anda juga perlu bersesuaian dengan siapa yang anda hendak bertemu.
#4 Berikan penerangan, kongsi pendapat kepada masyarakat
Masyarakat berpersepsi negatif dengan orang seni kerana mereka menilai apa yang hanya ada di luaran sahaja. Dekati mereka dan berikan penerangan dengan jelas jika perlu. Masyarakat akan boleh menerima jika ada perkara yang mereka tidak tahu, kita memberikan penerangan dengan penuh santun.
#5 Jangan sangka buruk pada masyarakat – dekati masyarakat
Elakkan untuk bersangka buruk kepada sesiapa pun. Ianya tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada anda. Sebaiknya anda dekati mereka dan bersangka baik sahaja.
#6 Belajar ilmu-ilmu baru selain dari muzik
Luaskanlah pembacaan dan timba ilmu-ilmu baru selain dari muzik. Dengan ilmu, anda mampu bertahan lama dalam industri. Orang yang banyak ilmu dipandang mulia. Tidaklah lagi masyarakat hanya menganggap orang seni hanya tahu nak berhibur sahaja.
#7 Buktikan pada masyarakat yang anda boleh berjaya
Tomahan akan sentiasa ada. Fokus sahaja pada trek anda. Jika ada yang kutuk anda, jangan melawan. Tutup mulut dan jalan terus. Buktikan sahaja yang anda mampu. Apabila anda sudah buktikan pada mereka yang anda sudah berjaya, mereka akan diam dengan sendirinya.
#8 Didik masyarakat
Sematkan dalam jiwa dan pemikiran kita untuk mendidik dan membimbing masyarakat ke arah lebih baik. Berikan nilai-nilai positif. Jika seorang guru mendidik masyarakat dengan memberikan kuliah, kita orang seni mendidik masyarakat dalam lagu. Teruskan berkarya!