Ini bukan tips apa-apa pun. Hanya nak kongsikan sedikit apa yang berlaku sepanjang 8 minggu ini. Tapi, mungkin anda boleh dapat sedikit manfaat, buah fikir, atau sedikit motivasi.
Ceritanya bermula bila saya dapat satu tawaran untuk gubah muzik (Sequence) untuk Shiha Zikir. Shiha dan kakaknya turut serta dalam program TV3, Famili Duo 2024 (Musim ke-4). Pernah dengar pasal program ni?
Saya cerita sikit. Program ini adalah program nyanyian terbitan TV3, ala-ala macam Gegar Vaganza. Format Famili Duo adalah setiap peserta akan membawa duo masing-masing. Jumlah peserta yang join ada 6. Ada :
Zahid dan Anne (Adik-beradik)
Tomok dan Shahrul Kamal (Sepupu)
Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik)
Ayie Elham Floor 88 dan Salma Asis (Sepupu)
Didi Astillah dan Thamierah Chan (Sepupu)
Naqiu dan Joey Daud (Sepupu)
Sepanjang 8 minggu ini, ada beberapa perkara saya dapat belajar yang mana saya rasa nak kongsi dengan anda semua. Mana-mana yang kalau anda rasa ada manfaat, ambil lah ya. Kalau tak ada, tinggalkan.
#1 Peluang
Bila dapat tawaran untuk bersama dengan team Shiha dan Ieda (Kakak), saya anggap ini satu rezeki yang saya takkan tolak.
Sebab ? Sebelum saya terima projek ini saya sudah boleh jangka akan ada banyak benda yang saya akan belajar, saya tahu projek ini akan mencabar diri saya dari segi kemampuan muzikal saya.
Sebab itu bila dapat offer ini, rasa rugi kalau saya tak terima. Saya tak tahu pun apa yang saya akan hadap sepanjang 8 minggu ini. Tapi – Saya terima sahaja. Ini pertama kali saya dapat projek sebegini. Tak tahu, bila lagi akan dapat peluang “best” macam ni.
Pengajaran : Cabar diri untuk buat perkara yang kita tak pernah buat. Cuba buat dahulu. Tiada apa yang rugi pun.
#2 Teroka pelbagai jenis muzik
Dari segi “explore muzik”, memang saya dah selalu buat. Tapi lebih kepada mendengar. Saya banyak dengar jenis lagu dan muzik. Dari muzik yang paling lembut hingga muzik keras dan laju. Tapi itu sekadar dengar.
Dalam projek ini, saya “dipaksa” untuk buat (gubah muzik) yang pelbagai. Sepanjang 8 minggu ini, antara muzik yang saya kena gubah adalah Pop (Minggu 1) , Tradisional (Minggu 2), Rap (minggu 3), Epik (minggu 4), Dangdut (minggu 5), Broadway (minggu 6), Hindustan (minggu 7), Fantasi & EDM / Dubstep (Minggu 8).
Kesemua genre dan stail muzik ini memang saya dah pernah dengar. Tapi bila disuruh buat, memang mencabar!
Pengajaran : nak improve diri, bukan sekadar dengar. Anda kena buat. Kalau tak tahu – belajar. Semasa fasa belajar, memang akan lalui proses banyak kesalahan. Bila buat salah itu yang kita akan belajar. Kan?
#3 Pengurusan masa
Famili Duo akan bersiaran pada setiap Ahad. Bermakna, saya akan dapat lagu dari Shiha dan Kakak ialah pada hari isnin. Saya hanya ada 2-3 hari sahaja untuk siapkan lagu untuk miggu tersebut. Hari Rabu, Music Director perlu dapat lagu dari peserta untuk mereka buat Scoring (nota muzik).
Setiap hari isnin dan selasa, memang saya akan dalam “standby mode”. Isnin malam, Shiha dan Arul (PA Shiha) akan datang studio untuk bincang susunan dan gubahan muzik.
2-3 hari memang sangat singkat untuk siapkan gubahan muzik (Sequence). Kalau tak urus masa dengan betul, boleh terbabas!
Pengajaran : Tak boleh tunggu idea datang. Terbuang masa nanti. Tak perlu tunggu idea. Terus ke meja kerja, dan buat. Idea akan datang selepas kita mula mengerjakan kerja kita.
#4 Teroka alat muzik
Di Longan Garage Studio, memang kami ada perisian VST (software) alatan muzik program dari pelbagai jenis negara seperti arab, india, nusantara, latin dan lain-lain. Nak buat muzik India? Lagu-lagu arab? Kami ada.
Cumanya, kami jarang guna. Sebab selalu yang datang ke studio kami ini, banyak lagu Balada, Rock, Pop. Jadi bila dapat peluang buat projek ini, memang kami dapat juga guna macam-macam jenis bunyi, efek, dan instrument.
Ada minggu yang kena buat muzik Hindustan. Saya tak pernah buat muzik Hindustan. Nak tak nak, kena belajar! Kena juga buat!
Pengajaran : Latih diri untuk sentiasa belajar dan buat. Setiap kali kita belajar benda baharu, kita sebenarnya telah menambah nilai diri kita.
#5 Mindset!
Bila masuk pertandingan, mindset saya bukan sekadar gubah lagu sedap telinga kita sahaja.
Bukan.
Bila masuk pertandingan, saya pun kena ada mindset nak menang. Walaupun sekadar belakang tabir (gubah muzik), saya tak boleh sambil lewa.
Setiap minggu, muzik yang dihasilkan mesti memenangi hati juri. Juri suka – Juri akan beri markah yang lebih.
Setiap minggu, kena gubah muzik sebaik yang boleh supaya ada peluang ke final.
Alhamdulillah.. Shiha dan Kakak ke pentas akhir.
Ahad ini, 15 Disember 2024, jam (9.00 malam) di TV3 – Famili Duo 2024. Ada 3 finalist yang akan berentap untuk merebut hadiah utama RM100,000.
Saya nak ajak anda untuk tonton bersama hari ahad ini. Doakan kami supaya menang dan dapat berikan yang terbaik di pentas akhir.


