Oleh: Syahir Miswan
Soalan yang pihak kami terima pada 16 Jun 2018.
“…Bagaimana saya nak jadi artis rakaman…?”
Soalan yang baik walaupun agak umum.
Terima kasih kepada yang bertanya soalan ini. Untuk menjawabnya, saya akan beri gambaran yang mudah dan asas supaya ktia dapat sedikit idea bagaimana untuk mula menjadi artis rakaman.
Pertama sekali kita perlu tahu apa yang dinamakan Artis Rakaman.
Apa itu artis rakaman?
Artis rakaman adalah penyanyi/pengggiat seni yang bernaung di bawah syarikat rakaman/label dan kebiasaannya terikat dengan kontrak. Tempoh terikat dengan syarikat rakaman adalah bergantung kepada negosasi antara artis dan syarikat rakaman.
Contoh mudah, ia sama seperti kita bekerja dengan majikan. Syarikat rakaman adalah majikan kita. Kita sebagai artis/penyanyi adalah staff kepada majikan kita.
Kita akan bekerja untuk syarikat rakaman. Dengan keupayaan dan bakat kita, kita akan mencipta keuntungan kepada syarikat rakaman kita dalam masa yang sama kita membina jenama kita sendiri.
Contoh terbaik artis rakaman seperti Wani Hasrita, Aiman Tino, Haqiem Rusli, Projector Band dan lain-lain lagi.
Mereka ini adalah contoh artis rakaman yang mana mereka bekerja sebagai penyanyi untuk syarikat rakaman mereka.
Selain dari bergerak dibawah syarikat rakaman, kita juga mempunyai pilihan untuk bergerak sendiri sebagai penyanyi.
Untuk setiap pilihan kita, ada kelebihan dan kekurangannya bergantung pada strategi yang kita telah aturkan untuk kita menapak dalam industri nyanyian ini.
Tidak ada istilah salah untuk bernaung di bawah syarikat rakaman, dan tidaklah salah juga jika kita memilih untuk bergerak sendiri.
Saya senaraikan kelebihan dan kekurangan untuk setiap pilihan kita.
1. Berada dibawah naungan syarikat rakaman:
Kelebihan:
- Mempunyai kapasiti yang besar sebagai penyanyi berbanding dengan bergerak sendiri.
- Kelebihan dari segi Kos. Bernaung dibawah syarikat tidak perlu mengeluarkan duit sendiri untuk terbitkan lagu single atau juga music video.
- Berkemungkinan syarikat akan membantu dari segi promosi dan pemasaran.
- Lagu anda akan di muatnaik untuk pemasaran digital. Seperti Digital Distribution (Spotify, iTune, Joox dan lain-lain).
- Anda akan lebih mudah dan cepat untuk membina jaringan (networking) dengan artis-artis lain.
Kekurangan:
- Keuntungan/royalti anda bukan hak milik anda 100%. Anda akan berkongsi peratusan keuntungan/royalti dengan syarikat rakaman (bergantung pada perjanjian yang telah dimeterai).
- Jika anda kurang menonjol, syarikat rakaman akan mendahulukan artis-artis lain berbanding anda. Anda perlu betul-betul berdaya saing dan mempunyai X faktor yang mampu memberikan pulangan keuntungan yang banyak kepada syarikat.
Syarikat rakaman/label adalah salah satu entiti perniagaan. Sasaran mereka adalah untuk mencipta seberapa banyak keuntungan. Apa-apa sahaja yang memberi keuntungan pada mereka, mereka akan sanggup melaburkan sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan pulangan yang besar.
2. Bergerak secara sendiri:
Kelebihan:
- Tidak terikat dengan jadual kerja. Anda bebas untuk menyusun jadual dan startegi anda sendiri.
- Royalti dan keuntungan adalah hak anda 100%.
- Anda bebasberkolaborasi (Joint-venture) dengan mana-mana artis yang bergerak secara sendiri.
- Anda bebas untuk merancang strategi dan pelan pemasaran lagu anda.
Kekurangan:
- Anda mungkin menghadapi kekurangan dana atau wang untuk pelan pemasaran, dan juga promosi lagu.
- Anda perlu membina jaringan (networking) anda sendiri. Ia mungkin mengambil masa yang agak lama.
Untuk bergerak secara sendiri ada beberapa kelebihan yang anda akan dapat. Anda tidak terikat dengan mana-mana dan siapa-siapa sahaja. Anda sendiri yang merancang perjalanan anda sebagai penyanyi.
Tetapi ada juga kekurangannya. Untuk bergerak sendiri anda memerlukan disiplin yang sangat tinggi. Anda perlu merancang bagaimana untuk anda membuat promosi dan juga pemasaran lagu anda.
Dengan kapasiti anda sebagai artis yang bergerak sendiri, pergerakkan anda sedikit terbatas kerana untuk membina nama anda sendiri memerlukan masa dan tenaga yang banyak. Anda perlu konsisten dan tekun.
Kesimpulan:
Pilihan di tangan anda. Mana-mana pilihan pun, ia akan menguntungkan sekiranya anda pandai menyusun strategi untuk anda membina jenama anda.
Jika soalan ini ditanya pada saya?
Saya akan jawab, untuk permulaan saya akan bergerak secara sendiri dahulu. Dapatkan ilmu serba sedikit tentang industri nyanyian ini supaya anda tidak akan ditipu atau tertipu. Asas-asas perundangan dan hak anda, perlu anda tahu (Royalti/hak cipta/kontrak/dan sebagainya).
Kemudian saya akan ikat kontrak 1-2 tahun dengan mana-mana syarikat rakaman. Ikat kontrak pada lagu, bukan sebagai artis rakaman. 😉
Selama saya dalam syarikat rakaman, saya merancang sendiri (jika diizinkan oleh syarikat rakaman) pelan pemasaran dan promosi untuk saya bina jenama sebagai artis dibawah syarikat rakaman.
Kemudian saya akan bergerak secara sendiri selepas tamat kontrak dalam keadaan saya sudah mempunyai jaringan dan jenama saya sendiri.
*Nampak macam mudah. Tetapi sebenarnya tak semudah itu. Hehe!
Akhir kata dari saya. Pilih dan buatlah keputusan. Yang penting jangan takut untuk membuat salah. Kerana apa-apa pilihan kita pun, kita akan dapat belajar sesuatu darinya.
Saya nak quot satu ayat yang saya dapat dari sahabat saya, Zainal Zulia dari Sajakiri Music. Ayat ini bila saya baca, membuatkan saya terfikir satu idea baru. Rasa bekobar-kobar pun ada.
Nah baca…
“…The goal of your music career should not be “to get signed”. Over 98% of all acts who sign to a major label fail. Success is not marked by getting signed. Success is marked by making a living doing what you love…” Ari’s Take.