Nak nyanyi merdu? Ini 6 Perkara yang anda perlu tahu.

Pernah tak anda tertanya bagaimana penyanyi boleh nyanyi merdu? Ataupun ingin tahu apa yang diajar dalam kelas vokal? Persoalan ini kerap kali mungkin timbul sewaktu melayari laman sosial, lagi-lagi apabila mendengar nyanyian artis kegemaran ataupun lalui info post berkenaan teknik vokal.

Kenapa kena masuk kelas vokal?

Secara khususnya, kelas vokal berobjektif untuk memperkukuh penguasaan nyanyian dalam beberapa aspek seperti :

  1. Pitching dan Rhythm
  2. Teknik Vokal dan Pernafasan
  3. Tone Colour
  4. Ekspresi Nyanyian
  5. Cara Sebutan
  6. Repertoire

Dengan pembelajaran cara untuk mengenal dan mengawal segala aspek teknikal dan kesenian nyanyian, penyanyi boleh menghasilkan nyanyian serta persembahan suara yang menawan hati pendengar. Mari kita lihat bagaimana.

Pitching dan Rhythm

Pitching dan Rhythm adalah asas bagi ilmu muzik. Secara khususnya, Pitching merupakan nada bunyi, sama ada rendah atau tinggi, dan Rhythm pula merupakan panjang pendek nada bunyi.

Kita sebagai penyanyi harus sedar melodi yang kita nyanyi perlu betul dari segi Pitching dan Rhythm.

Oleh itu, kelas vokal harus diterapkan ilmu asas muzik bagi membantu penguasaan muzik penyanyi, contohnya:

Pengenalan kepada nota-nota muzik CDEFGAB, bacaan Do Re Mi, serta nota-nota ritma Crotchet, Minim, Quaver dan lain-lain.

Dengan ilmu inilah yang kita belajar dalam kelas vokal dapat kita memperbetulkan masalah seperti ‘out of tune’, ‘sumbang’, ‘salah key’ dan ‘lari tempo’.

Teknik Vokal dan Pernafasan

Di dalam kelas vokal, pembelajaran Teknik Vokal dan Pernafasan adalah ilmu fundamental dan sangat penting bagi seseorang penyanyi. Apabila kita perlu nyanyi, kita perlu bergantung kepada penguasaan teknik nyanyian kita bagi membawa lagu.

Apatah lagi apabila perlu menyanyi lagu-lagu yang mencabar dari segi teknikal. Antaranya, ilmu teknikal mengenai ‘Vocal Registration’ penting bagi membuka potensi penuh ‘vocal range’ seorang penyanyi.

Dalam nyanyian, penyanyi perlu sedar dan mengawal suara di setiap bahagian ‘vocal registration’, beserta dengan merasai pergerakan transisi suara yang perlu berlaku untuk bergerak naik turun vocal range kita.

Mereka juga perlu tahu, setiap individu penyanyi mempunyai vocal range tersendiri yang telah dikurniakan (boleh diukur mengikut nota muzik) dan boleh diasah rendah tinggi sampai potensi sepenuhnya.

Vocal Registration :

  • Chest Register/Voice
  • Mixed Register/Voice
  • Head Register/Voice
  • Falsetto

Selain itu, penyanyi perlu juga mengetahui ‘Vocal placement’ yang sesuai bagi dirinya supaya mendapat ‘tone colour/timbre’ suara yang merdu dan sihat bagi vokal.

‘Tone colour’ suara merupakan corak warna suara yang boleh berubah dengan posisi ‘vocal placement’ yang berbeza. Contohnya, apabila kita mendengar suara penyanyi yang bingit atau bulat, itu semua terbentuk dari posisi dan bentuk ‘vocal placement’. Dengan vocal placement yang betul dan sihat, akan terbentuknya corak suara yang merdu dan penuh gema.

Teknik Pernafasan

Dari aspek Teknik Pernafasan pula, penyanyi perlu berlatih untuk menguatkan pengawalan nafas serta stamina mereka. Ilmu kawalan pernafasan penting kerana aktiviti menyanyi menggunakan udara sebagai medium bunyi.

Bunyi suara terhasilnya dari pergerakan kumpulan udara di dalam paru-paru dan bergerak melalui ‘vocal folds’ untuk menghasilkan bunyi suara. Latihan untuk mengawal otot pernafasan seperti otot diafragma membantu untuk mengawal hasil nada suara yang stabil.

Antara satu cara yang efektif untuk berlatih stamina ketahanan nafas adalah anda boleh melakukan aktiviti bersama jam randik dengan menyuarakan satu nada berpanjangan, dan bertahan selama mungkin. Durasi tahan sepanjang 15-20 saat optimum bagi menguatkan daya pernafasan anda.

Cara ini boleh melatihkan daya ketahanan otot-otot pernafasan anda untuk berpanjangan dan aktif.

Ekspresi Nyanyian

Cara Ekspresi Nyanyian juga merupakan satu aspek yang penting bagi seni nyanyian. Gubahan lirik-lirik lagu membawa maksud dan mesej yang mahu disampaikan kepada pendengar. Oleh itu, apabila kita menyampaikan sebuah persembahan nyanyian, kita perlu mengambil berat tentang ekspresi nyanyian lirik-lirik tersebut.

Penyanyi perlu belajar untuk mencari di dalam lagu di mana titik-titik ayat yang perlu ditekankan, dan di mana perlu dilembutkan supaya mesej emosi lagu itu tersampai kepada pendengar.

Tambahan pula, apabila kita perlu menyanyi lagu yang berbahasa asing, kita perlu belajar cara Sebutan yang betul dan tepat supaya pendengar boleh faham sebutan ayat nyanyian kita. Nyanyian yang jelas dan lancar akan menghasilkan persembahan yang lebih efektif buat pendengar.

Repertoire

Pilihan lagu Repertoire juga sangat penting dalam perkembangan kesenian seorang penyanyi. Apabila ingin memilih lagu untuk dipersembahkan, penyanyi harus sedar dengan persoalan –

“Adakah lagu ini sesuai dengan suara saya?“.

Sesuai dari segi ‘vocal range’, ‘tone colour’ serta personaliti individu. Kita harus sedar, komposisi asal lagu adalah mengikut gubahan penyanyi asal, dan range ditetapkan sesuai bagi penyanyi asal.

Maka, perlu dipertimbangkan hal ini samada lagu yang dipilih boleh digubah semula mengikut kesesuaian suara kita, terutama pilihan lagu yang berlainan jenis suara kita, lelaki atau perempuan.

Mungkin lagu perlu dinaikkan ‘key’ lagu, mungkin perlu direndahkan ‘key’ lagu. Semua persoalan ini perlu dipertimbangkan supaya persembahan nyanyian kita tidak memudaratkan sendiri di atas pentas dan pendengar boleh menikmati suara dengan selesa.

Kesimpulannya…

Pembelajaran kelas vokal membimbing seorang penyanyi untuk merasai, menghadam, dan mengingati segala aspek-aspek nyanyian dari segi teknikal dan kesenian, dengan objektif untuk menghasilkan suara merdu bergema di samping persembahan nyanyian yang menawan hati.

Oleh itu, jika seseorang individu merasai suara mereka tidak sedap, mereka tidak perlu rasa itu adalah penghujungnya.

Dengan bimbingan ilmu dan latihan vokal yang betul, setiap individu berpotensi untuk mencantikkan suara mereka dan mengasah bakat seni nyanyian.

Ditulis oleh Haziq Muhyidin 04/02/2025

arrow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *